Monday 7 November 2011

Kemahiran Membina Hipotesis

Takrif
         membuat generalisasi atau tekaan awal yang boleh diuji berdasarkan 
         beberapa siri pemerhatian dan inferens.


Kemahiran membina hipotesis bergantung kepada kebolehan anda dalam .....


1. membuat pemerhatian yang tepat dan menerangkannya secara terperinci atau
    merekodkan pemerhatian dalam bentuk gambar rajah, jadual dan graf.
2. mentafsir inferens dan data secara tepat
3. mengenalpasti pola, ciri-ciri sepunya dan 'trend' dalam maklumat
4. membuat penerangan tentang pemerhatian , inferens dan data
5. memberi sebab yang munasabah terhadap setiap hipotesis
6. merancang dan menjalankan eksperimen untuk setiap hipotesis
7. membanding dan membeza data yang menyokong dan tidak menyokong sesuatu
    hipotesis
8. menyemak hipotesis dengan dapatan ujikaji
9. membezakan inferens daripada hipotesis

Bila dan mengapa perlu membina hipotesis?
1.Hipotesis dibina sebelum penyiasatan atau eksperimen.
2.Hipotesis membimbing pelajar dalam menentukan data yang akan dikumpul dalam
   eksperimen.
3.Hipotesis yang boleh diuji membantu pelajar merancang eksperimen, iaitu dalam
   merancang prosedur eksperimen, alat komunikasi yang akan digunakan dan cara
   bagaimana menganalisis data.
4.Kemahiran berfikir secara kritis diterap semasa menentukan perkaitan antara
   pembolehubah.
5.Hipotesis menjadi panduan semasa langkah membuat kesimpulan logikal di akhir
   eksperimen

Bagaimana membina hipotesis?
Kenal pasti pembolehubah yang dimanipulasi, pembolehubah bergerak balas
dan pembolehubah malar
Tulis satu penyataan spesifik yang menghubungkait antara pembolehubah yang
dimanipulasi dan pembolehubah bergerak balas. Perlu nyatakan bagaimana
pembolehubah yang pertama mempengaruhi pembolehubah kedua.

Contoh hipotesis yang dibina berdasarkan pemerhatian

Anda pernah memerhati bahawa gula pasir larut lebih cepat di dalam air panas
berbanding air sejuk. Daripada pemerhatian tersebut anda mungkin membina hipotesis,

"Semua bahan yang larut dalam air akan melarut lebih cepat di dalam air panas
 berbanding air sejuk"

Hipotesis yang dibina berdasarkan pemerhatian perlu diuji berkali-kali dengan
menggunakan pelbagai bahan untuk menetusahkan hipotesis tersebut. Bahan yang
diketahui larut dalam air dimasukkan dalam bekas berisi air panas dan bekas berisi
air sejuk. Masa untuk melarut dicatat. Jika masa untuk melarut dalam air panas sama
dengan atau lebih lama daripada masa melarut di dalam air sejuk, maka hipotesis tidak
disokong  oleh dapatan eksperimen. Hipotesis perlu diubahsuai atau diganti baru seperti,

"Kebanyakan bahan yang larut dalam air akan melarut lebih cepat di dalam air panas
 berbanding air sejuk"

Contoh hipotesis yang dibina berdasarkan inferens


Sebatang paku dililit dengan dawai bergelung yang dipasang pada bekalan elektrik.
Apabila arus mengalir di dalam dawai bergelung, paku itu dapat menarik klip kertas.
Jika bilangan lilitan ditambah bilangan kertas klip yang melekat pada paku turut
bertambah. Inferens yang mungkin anda buat ialah apabila bilangan lilitan gegelung
bertambah, lebih banyak klip kertas yang ditarik oleh paku kerana kekuatan medan
elektromagnet paku juga bertambah. Hipotesis yang dapat dibina berdasarkan inferens
ialah,
"Semakin banyak lilitan gegelung semakin kuat medan elektromagnet terhasil pada paku."

Seterusnya hipotesis ini diuji untuk mendapatkan data yang akan menyokong atau
menyangkal hipotesis tersebut.

Bagaimana menilai hipotesis anda?

Bandingkan hasil eksperimen dengan hipotesis yang dibina.Jika dapatan eksperimen
menyokong hipotesis, maka hipotesis itu boleh diterima. Jika sebaliknya hipotesis
tersebut perlu diubahsuai atau diganti dengan yang baru.

Aktiviti

Anda dikehendaki menyiasat faktor-faktor yang mempengaruhi masa untuk memasak
kentang. Beri empat faktor dan bagi setiap faktor bina hipotesis yang boleh anda uji.

Kemahiran Mengeksperimen



Takrif
          menyiasat iaitu merancang, memanipulasi pembolehubah dan menguji 
hipotesis untuk membuat keputusan


Mengeksperimen adalah aktiviti yang menggabungkan semua kemahiran proses sains.
Anda mengeksperimen dengan merancang penyiasatan, bermula dengan membina
hipotesis dan menyatakan pembolehubah yang dimanipulasi, bergerak balas dan malar.
Seterusnya anda merekabentuk kaedah mengumpul data, diikuti dengan pelaksanaan
mengumpul data, mentafsir maklumat, menerangkan hasil eksperimen dan membuat
kesimpulan atau keputusan.
Mengeksperimen tidak sama dengan menjalankan eksperimen kerana menjalankan
eksperimen bererti anda hanya melaksanakan langkah-langkah penyiasatan yang telah
disediakan kepada anda.

Hasil eksperimen disebarkan kepada umum melalui penulisan laporan amali. Maklumat
yang perlu ada ialah
1.Penyataan masalah atau soalan kajian yang dikaji
2.Penyataan hipotesis yang diuji
3.Penyataan tentang pembolehubah
4.Penerangan tentang langkah-langkah penyiasatan yang dijalankan
5.Jadual untuk merekod bacaan termasuk bilangan penyiasatan yang dijalankan
6.Graf jika berkaitan
7.Penyataan yang menghubungkait pembolehubah-pembolehubah
8.Perbandingan di antara dapatan eksperimen dan hipotesis untuk mengenalpasti samada
   hipotesis diterima atau disangkal.

Aktiviti
1.      

Dengan menggunakan bahan-
bahan yang dipaparkan:
1 gabus,6 keping plastik sebagai
kipas roda,1 pisau,1 lidi satay,
2 botol air mineral, salur getah dan corong
1. Bina satu roda air.
Berhati-hati semasa menggunakan
pisau untuk memotong gabus.
2. Kaji dua faktor yang mempengaruhi
 kadar pusingan roda air.


3. Nyatakan secara terperinci

semua kemahiran proses sains yang terlibat dalam eksperimen ini.                                                                                                                           











2. Dengan menggunakan bahan-bahan yang terdapat di rumah (seperti di dalam gambar rajah)
seperti tuala, plastik,pembaris panjang, bekas bulu tangkis dan guli,
Jalankan eksperimen untuk menentukan rintangan pada permukaan yang berbeza.
Nyatakan kemahiran proses yang terdapat dalam eksperimen secara terperinci.